Rabu, 18 Julai 2012

Sulu Darul Islam


SULU

Tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang tidak tahu tentang kewujudan Sulu ini. Sulu sebenarnya adalah satu wilayah kepulauan yang pada hari ini telah dimasukkan dalam sebahagian daripada Autonomous Region in Muslim Mindanao (ARMM). Pusat atau ibu kota Sulu terletak di Jolo. Namun pada hakikatnya, Sulu dan Mindanao adalah 2 wilayah yang berlainan. Sulu dan Mindanao terletak di Selatan Filipina. Sulu adalah sebuah kawasan yang penuh dengan sejarah. Sulu dahulunya adalah dibawah pemerintahan Kesultanan Sulu manakala Mindanao pula dibawah pemerintahan Kesultanan Maguindanao.











Kesultanan Sulu
Pengasas Kesultanan Sulu adalah seorang Arab dari Johor iaitu Sayyid Abu Bakar Al-Husseini. Beliau akhirnya menggunakan gelaran 'Paduka Mahasari Maulana al Sultan Shariful Hashim'. Gelaran Paduka adalah gelaran rakyat tempatan yang bermaksud Tuan manakala Mahasari bermaksud Yang Di-Pertuan. Pada tahun 1703, Kesultanan Brunei telah menganugerahkan Utara dan Timur Sabah kepada Kesultanan Sulu di atas bantuan pahlawan Sulu iaitu 'Panglima Elidji' yang telah berjaya menumpaskan pemberontakan di Brunei. Pada tahun yang sama, Kesultanan Sulu telah menganugerahkan Pulau Palawan kepada Kesultanan Maguindanao sebagai hadiah perkahwinan Sultan Qudarat (Sultan Maguindanao) dengan Puteri Sulu. Ini menunjukkan bahawa ikatan perhubungan diantara kesultanan-kesultanan di Nusantara ini sangat erat. Ini tidaklah menghairankan kerana dalam agama Islam mengajar ummatnya agar menjalin hubungan silaturrahim sesama saudara muslim.

Panji Rasmi Kesultanan Sulu I

Panji Rasmi Kesultanan Sulu II



Rakyat Sulu
Penduduk di Kepulauan Sulu terdiri daripada pelbagai suku kaum dan bangsa. Setiap bangsa mempunyai bahasa yang tersendiri. Bangsa Tausug (Suluk) adalah yang majoriti di Kepulauan Sulu. Oleh itu, bahasa Tausug (Suluk) telah mempengaruhi bahasa-bahasa lain di sekitarnya. Bahkan, terdapat ramai rakyat Sulu yang memahami bahasa Tausug (Suluk) walaupun bukan Tausug Piul (Pure).

Tausug / Suluk
Tausug adalah terdiri dari 2 perkataan yang digabungkan iaitu 'Tau' yang bermaksud 'Orang' dan 'Sug atau Sulug' yang bermaksud 'Arus'. Dapatlah dijelaskan bahawa Tausug itu bermaksud Orang Arus yang hidupnya sentiasa berhadapan dengan arus badai laut dan arus tiupan angin. Selain daripada Kepulauan Sulu, bangsa Tausug juga terdapat di Sabah dan lebih dikenali dengan bangsa Suluk (Sulug).


Badjaw-Samal (Bajau-Sama)
Dalam kajian sejarah Kesultanan Sulu, nama Bajau sebenarnya telah mendapat nama daripada bahasa Melayu iaitu Berjauh (Bajauh) dan Bersama (Samah). Ini kemungkinan besar disebabkan kehidupan orang Bajau yang suka berjauh-jauh dan selalu bersama-sama dalam pelayaran. Tidak hairanlah mengapa bangsa Bajau ini bertebaran di seluruh Nusantara. Bangsa Bajau telah bertebaran di seluruh Nusantara termasuk Indonesia dan Malaysia. Di Indonesia mereka lebih dikenali dengan nama Bajo-Same. Di Malaysia pula mereka terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Bajau Laut dan Bajau Darat (Bukit). Manakala di Kepulauan Sulu mereka disebut sebagai Badjaw-Samal. Bangsa Bajau terdiri daripada puluhan sub-etnik mengikut nama kawasan yang didiami. Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa bangsa Bajau adalah penduduk asal Nusantara ini. 

Banguingui / Balangingi
Bangsa Banguingui adalah rumpunan daripada bangsa Sama. Kawasan majoriti bangsa Banguingui adalah Tongkil atau nama asalnya adalah Banguingui. Mengikut sejarah, bangsa Banguingui bertugas sebagai tentera laut Kesultanan Sulu yang paling setia dan berani. Diantara pahlawan Banguingui yang banyak berjasa adalah Maas Alidji atau Panglima Elidji iaitu tentera Kesultanan Sulu yang telah mengetuai angkatan ke Brunei untuk menghapuskan pemberontakan diantara pembesar-pembesar Kesultanan Brunei. Akhirnya Sebahagian daripada negeri Sabah telah dianugerahkan oleh Sultan Brunei kepada Sultan Sulu.

Yakan
Bangsa Yakan boleh didapati di sekitar pedalaman Basilan dan Zamboanga (Jambangan). Bahasa yang mereka gunakan adalah gabungan daripada bahasa Bajau dan Tausug. Bangsa Yakan dipercayai adalah bangsa Dayak Borneo yang telah berjaya diislamkan. Dari perkataan Dayak lah mereka mendapat nama Yak-an. Bangsa Yakan telah berasimilasi dengan bangsa Tausug berabad lamanya dan akhirnya budaya kehidupan Tausug telah menjadi sebati dalam kehidupan mereka.

Jama-Mapun (Kagayan)
Jama-Mapun berasal daripada 2 perkataan iaitu 'Jama' yang bermaksud 'Orang' dan 'Mapun' yang merujuk kepada satu kawasan iaitu Pulau Mapun. Pulau Mapun telah digolongkan dalam salah satu kawasan Tawi-Tawi. Pulau Mapun juga dikenali sebagai Cagayan de Sulu. Bangsa Jama-Mapun lebih dikenali oleh Tausug sebagai Samal-Kagayan.


Subanen (Orang Sungai)
Subanen (Subanon) berasal daripada kata 'Suba' atau 'Supa' yang bermaksud 'Sungai'. Bangsa ini menduduki sekitar kawasan pergunungan dan sungai di Zamboanga. Agama asal bangsa Subanen ini adalah Pagan. Namun pada hari ini, bangsa Subanen secara perlahan-lahan telah menganut agama Islam dan Kristian. Orang Subanen yang beragama Islam lebih dikenali sebagai Kolibugan-Subanen. Bangsa ini memiliki ciri-ciri persamaan dengan bangsa Sungei di Sabah.

Molbog
Bangsa Molbog boleh didapati di sekitar pulau-pulau Palawan dan Pulau Balabac iaitu satu Pulau yang terletak di antara Palawan dan Pulau Banggi (Sabah). Dalam jumlah yang sedikit, bangsa Molbog juga terdapat di Pulau Banggi (Sabah) dan lebih dikenali dengan bangsa Balabak yang merujuk kepada asal usul mereka iaitu Pulau Balabac (Palawan). Bahasa yang mereka gunakan tidak jauh beza dengan bahasa Samal, Tausug, Bonggi dan Palawano. Mereka juga dikenali sebagai Molebugan atau Molebuganon. Perkataan Molbog merujuk kepada perkataan Malubog yang bermaksud 'air yang keruh atau gelap'. Bangsa Molbog dipercayai berasal daripada Borneo dan mempunyai ciri-ciri persamaan dengan bangsa Tidung (Tirung) di Borneo.

Illanun (Iranun)
Bangsa Iranun dipercayai berasal daripada Tasik Lanao dan Teluk Ilana di Mindanao. Memandangakan bangsa Iranun adalah tentera laut Kesultanan Sulu, maka bangsa Iranun juga tergolong dalam rakyat Sulu. Bangsa Iranun adalah tentera laut Sulu yang paling ditakuti di Nusantara. Sehinggakan orang barat menyamakan mereka dengan Viking (lanun). Dalam Bahasa Melayu, terdapat kata 'lanun' yang dipercayai telah diperolehi dari kata 'Illanun' kerana bangsa Iranun juga pernah menduduki sekitar Tanah Melayu. Oleh itu, perkataan lanun adalah tidak sesuai kerana mengguris hati orang Iranun. Lebih elok menggunakan istilah 'perompak laut'. Bangsa Iranun sebenarnya bukan lanun tetapi adalah tentera laut yang berani dan ganas dalam memerangi musuh.


Keindahan Kepulauan Sulu
Sebagaimana yang diketahui, Kepulauan Sulu terdiri daripada ratusan pulau-pulau yang cantik dan indah. Kejernihan air Laut Sulu (Sulu Sea) menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya. Tidak hairanlah mengapa Kesultanan Sulu memilih untuk berpusat di Jolo dan bukannya di kawasan-kawasan lain yang pernah berada dibawah taklukan Kesultanan Sulu seperti Palawan, Zamboanga, Selurong (Manila) dan Seludang (North-Borneo).













Malaysia Bertuah
Malaysia bertuah kerana sebahagian daripada wilayah Kesultanan Sulu telah menjadi hak milik Malaysia. Pulau-pulau yang terdapat di Pantai Timur Sabah menjadi kegilaan para pelancong untuk mengunjungi dan bercuti di sana. Diantara pulau-pulau yang menjadi idaman pelancong adalah Pulau Sipadan. Keindahan Pulau Sipadan menyebabkan ia menjadi rebutan di antara Malaysia dan Indonesia. Alhamdulillah, akhirnya Malaysia berjaya mempertahankan Pulau Sipadan pada tahun 2003. Kerajaan Indonesia mengulas rasa sangat kecewa di atas keputusan tersebut.

Mengikut keputusan undian umum yang dikeluarkan oleh organisasi tunggal bagi pengundian 7 keajaiban terbaik dunia (New 7 Wonders of Nature votes commitee), Pulau Sipadan telah tersenarai antara 77 bentuk muka bumi yang ajaib dan terbaik di dunia pada tahun berakhir Julai 2009.


1 ulasan:

  1. daripada wilayah kesultanan sulu menjadi hak milik malaysia??

    kepala otak kau..

    hak orang kau ambil bukan hak kau
    mudah- mudahan kerajaaan malaysia terima bala yang besar .. mengambil HAK ORANG TANPA IZIN

    BalasPadam