Khamis, 19 Julai 2012

Panji Sambulayang


Panji Sambulayang



Perahu Sappit dengan kibaran Sambulayang beserta panji yang biasanya digunakan oleh
para Datu atau Sultan. Foto era Amerika Syarikat 1900-an di Jolo, Sulu.

Bajau & Sambulayang

Jasa Komuniti Bajau Terhadap Kesultanan Sulu
Kedudukan Jolo yang strategik iaitu terletak di antara Basilan dan Tawi-Tawi telah membolehkan Jolo menjadi pusat pentadbiran Kesultanan Sulu yang mendominasikan kuasa politik, ekonomi dan sosialnya pada wilayah taklukannya termasuk North-Borneo (Sabah). Di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu telah memperlihatkan kepentingan beberapa komoditi laut seperti tripang, mutiara, ikan masin, kulit penyu dan lain-lain lagi untuk diperdagangkan di Jolo bagi memenuhi permintaan para pedagang dari China dan Eropah. Dalam hal ini, para Datu Sulu yang memiliki perahu bersayap dikenali sebagai Barangayan dan Kora-Kora nampaknya telah menggunakan khidmat dan kepakaran komuniti Bajau Laut sebagai sumber tenaga kerja dalam pengeluaran dan penghasilan sumber maritim di perairan Sabah untuk memebuhi pasaran antarabangsa. Komuniti Bajau Laut telah ditugaskan oleh Kesultanan Sulu untuk mengawasi sekitar perairan Laut Sulu-Sulawesi daripada dicerobohi oleh anasir jahat. Selain itu, komuniti Bajau Laut juga telah ditugaskan untuk menyambut kedatangan para pembesar-pembesar Kesultanan Sulu yang datang melawat ke North-Borneo. Komuniti Bajau Laut telah banyak berjasa semasa era pemerintahan Kesultanan Sulu. Panji Sambulayang yang menghiasi lepa-lepa (perahu-perahu) telah menjadi lambang penguasaan Kesultanan Sulu terhadap wilayah taklukannya dahulu.






Lepa-Lepa & Sambulayang
Lepa merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan masyarakat Bajau sejak zaman dahulu. Lepa banyak kegunaannya dalam kehidupan harian orang-orang Bajau Laut. Ia digunakan untuk menangkap ikan, kenderaan harian, perarakan sewaktu upacara perkahwinan dan persembahan kebudayaan. Kehidupan unik yang berteraskan lepa ini telah dipusakakan turun-temurun hingga hari ini oleh nenek moyang mereka.




Pesta Regatta Lepa & Sambulayang
Perayaan Regatta Lepa disambut setiap tahun iaitu pada bulan April di daerah Semporna, Sabah. Perayaan ini merupakan satu tapak untuk memperkenalkan dan mempromosikan seni, budaya dan adat bangsa Bajau yang berwarna-warni. Setiap tahun pengunjung dari seluruh negara akan berpeluang melihat sendiri keunikan pembuatan lepa yang dihiasi dengan Panji Sambulayang. 



Lepa yang diiringi dengan tarian 'Igal-Igal' (Pangalay) dan irama muzik Kulintangan dan Gabang menambahkan keasyikan para pengunjung yang menyaksikan acara tersebut. Regatta Lepa merupakan acara tahunan untuk semua penggemar, penggiat dan pengusaha seni budaya Bajau untuk berkumpul dan berkongsi idea. 



Melalui perayaan ini, masyarakat Bajau yang berada di merata tempat termasuk di pulau-pulau akan berhimpun untuk memperagakan hiasan perahu-perahu atau lepa-lepa mereka. Perayaan ini memakan masa 2 hingga 3 hari. Bayangkan di tepi pantai terdapat ratusan lepa yang dihias cantik dengan segala macam renda, payung, tipas-tipas dan sambulayang yang berwarna-warni. Dikuatkan lagi dengan persembahan kebudayaan, pameran pakaian tradisi dan pertandingan acara laut seperti 'lumba kelle-kelle', tarik tali lepa, lumba renang dan menangkap itik. Pertandingan utama adalah merebut gelaran 'Lepa Tercantik'. Semua lepa-lepa ini akan beratur sambil bergerak perlahan di hadapan pentas yang disediakan kepada para hakim dan orang kenamaan untuk menilai dan memilih pemenang. Pemenang akan dipilih berdasarkan kecantikan lepa dan tarian yang dipersembahkan.




Aktiviti sambutan Regatta Lepa dibahagikan kepada 2 kawasan utama iaitu 'Acara Laut' di tepi pantai dan 'Pentas Budaya & Pameran' di Padang Pekan Semporna. Pada sebelah malam pula pengunjung berpeluang untuk menyaksikan persembahan kebudayaan tempatan sambil diselang-selikan dengan nyanyian artis tempatan dan nasional. Pertunjukan bunga api turut mewarnai langit Semporna pada malam tersebut.




Perayaan ini mula diperkenalkan pada tahun 1994 sebagai perayaan peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan peringkat negeri Sabah. Pada tahun 2003 Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' dan kini Regatta Lepa merupakan salah satu acara tahunan Malaysia.



Kesimpulannya, budaya warisan Kesultanan Sulu masih subur dan bertahan pada jiwa masyarakat Bajau Laut sehingga hari ini. Hasil usaha besar masyarakat Bajau Laut di Sabah yang juga bekas rakyat Kesultanan Sulu telah berjaya mempertahankan budaya Panji Sambulayang yang telah dipusakakan kepada mereka berabad lamanya. Oleh itu, semoga budaya Panji Sambulayang ini terus terjaga dan diwarisi oleh generasi masyarakat Bajau Laut akan datang. Insyallah.


Sumber Gambar Daripada :
http://images.google.com/



Tiada ulasan:

Catat Ulasan