Isnin, 16 Julai 2012

Pangalay

Pangalay
"Pergerakan dalam kesopanan, kesopanan dalam pergerakan"



Pangalay adalah tarian tradisional kaum Suluk (Tausug) samaada yang berada di Sulu (Sug) atau di Sabah. Tarian Pangalay ini mempunyai pertalian atau persamaan dengan tarian-tarian tradisional di sekitar Asia seperti Jawa, India, Siam (Thailand), Burma (Myanmar) dan Kemboja. Pangalay dalam Sanskrit bermaksud “tarian kuil atau tokong”.  Tarian Pangalay ini terkandung pelbagai bahasa pergerakan badan yang tersirat di dalamnya.


Lakaran wajah (expression) pada si penari Pangalay yang suram (downcast) atau memandang ke bawah menggambarkan penghormatan dan penghargaan terhadap budi baik seseorang atau kumpulan. Pada zaman kegemilangan Sulu Zone iaitu semasa era penguasaan laut nusantara oleh kaum Tausug dahulu, para kaum wanita Tausug di persisiran pantai akan menyambut kedatangan Sultan Sulu, pembesar-pembesar Sulu (Datu & Salip) dan pahlawan-pahlawan laut Sulu (Bajau & Iranun) dengan mempersembahkan tarian Pangalay iaitu  sebagai simbol untuk mengenang jasa perjuangan baik mereka. Oleh itu, kata dasar dari perkataan Pangalay iaitu ‘Alay’ bolehlah diklasifikasikan sebagai ‘satu perbuatan untuk menghormati atau menghargai jasa baik yang telah dicurahkan oleh sesuatu kelompok’.



Pergerakan tarian Pangalay adalah berbentuk fleksibel. Postur badan si penari Pangalay selalunya dalam keadaan mengiring atau senget. Tangan si penari akan berkibaran dan dialun-alunkan seperti alunan ombak yang perlahan. Dengan kawalan pergelangan tangan yang bertenaga maka jari-jemari si penari akan dilentikkan. Bahagian kaki pula akan disilangkan manakala lutut dalam keadaan patah atau bengkok. Bahagian tapak kaki si penari pula akan terangkat-angkat dan mengeset dengan pantas, ibarat sedang berada di atas permukaan laut dan ditiup sang bayu (angin). Kuku si penari dihiasi dengan kuku palsu logam (metal claws) atau yang lebih dikenali oleh kaum Suluk sebagai ‘Janggay’.



Postur dan gerak isyarat (gesture) badan si penari adalah simbol sifat alam semula jadi iaitu arus air laut dan aliran tiupan angin yang berterusan. Tangan si penari yang dihayunkan ke atas kepala adalah simbol kemenangan, kejayaan, kegembiraan dan keagungan bagi kaum Suluk.



Pangalay boleh ditarikan oleh sesiapa tidak kira komuniti, peringkat umur atau status, jantina dan agama. Ianya boleh ditarikan dimana-mana ruang samaada di atas perahu, pesisir pantai, anjung rumah, majlis perkahwinan, majlis rasmi dan sebagainya. Setiap pergerakan dalam tarian Pangalay penuh dengan kesopanan, kehalusan, kelembutan dan keayuan. Pergerakan yang berterusan mengikut aliran (arus) dan lipatan jari-jemari dalam tarian Pangalay adalah simbol kehidupan budaya ketimuran (eastern) yang mana berkait rapat dengan ‘arus angin yang kencang dan aliran air laut’. Tarian Pangalay sebenarnya adalah lambang kehidupan masyarakat Suluk (Tausug) yang menjadikan lautan dan tiupan angin sebagai asas kelangsungan hidup mereka. Sesuai dengan maksud nama ‘Suluk (Sulug)’ itu sendiri yang bermaksud ‘Arus’. Manakala ‘Tau-sug’ pula bermaksud ‘Orang Arus’.




Variasi Pangalay 

Pelbagai jenis tarian dalam masyarakat Suluk yang telah diadaptasi dari tarian Pangalay. Pada hari ini, tarian Pangalay merangkumi pelbagai jenis variasi tarian yang melambangkan identiti bangsa Suluk.


Pangalay Ha Agung (Gong)

Pangalay yang ditarikan oleh lelaki dan wanita. Penari lelaki akan 
membunyikan gong untuk memanggil penari wanita naik ke atas gong tersebut. 

Pangalay Ha Patung

Pangalay yang menggunakan batang buluh yang keras. 
Dua penari lelaki akan menggenggam buluh dengan kuat
manakala penari wanita mengalay di atas nya.

Pangalay Linggisan

Pangalay yang seakan-akan menyerupai seekor itik atau burung.

Pangalay Kipas

Pangalay yang menggunakan kipas dalam tariannya.
Ianya ditarikan dalam jumlah penari yang ramai dan muzik yang
digunakan adalah lagu tradisi suluk iaitu 'Sua Ku Sua'. 

Pangalay Kulintangan

Pangalay ini mengikut irama Kulintangan iaitu satu alat muzik yang
menjadi warisan budaya seni kaum Suluk.

Bolak-Bolak

Tarian yang menggunakan 4 bilah kayu kecil jenis keras yang
 digenggam dalam tangan. Para penari (lelaki & wanita)
selalunya dalam jumlah yang ramai. Kayu (Bolak-Bolak)
tersebut akan ditepuk-tepuk sehingga mengeluarkan bunyi
yang rentaknya sama dengan irama Kulintangan.

Daling-Daling

 Tarian Dalling-Dalling ini dibawa oleh orang-orang Suluk dari Kepulauan Sulu (Mindanao) selepas mendapat pengaruh daripada orang-orang Sepanyol.
Perkataan Dalling adalah berasal daripada perkataan Inggeris iaitu 'Darling'
yang bermaksud 'Kekasih'. Tarian yang berbentuk gurau senda diantara
pasangan yang bercinta ini ditarikan secara berpasang-pasangan (lelaki & wanita).

Mengiluk (Pangiluk)

Tarian Mengiluk memaparkan ekspresi jiwa manusia melalui gerak geri berirama indah. Media komunikasi yang digunakan adalah melalui gerakan tubuh yang unik. Tarian ini dapat memberikan penghayatan rasa, semangat dan kepuasan diri. Ianya dipersembahkan oleh kaum lelaki dan wanita dalam majlis perkahwinan atau majlis keramaian. Alat muzik yang digunakan adalah Agung (Gong), Kulintangan, Biola, Gabbang, Saling, Suanay dan Kulaing.

Pangalay Bandeha

Pangalay yang menggunakan bandeha (dulang) dan diletakkan di atas kepala. Pangalay Bandeha selalu ditarikan pada majlis persandingan pengantin. Para penonton dan tetamu pula akan melemparkan duit syiling ke dalam dulang tersebut sebagai simbol penghargaan. Pangalay jenis ini memerlukan kepakaran dan kestabilan badan yang tinggi.




Sumber gambar daripada :
http://images.google.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan